Covid-19: Perkhidmatan tren, bas Prasarana beroperasi seperti biasa

Pengangkutan antara 25 sektor yang dikecualikan daripada perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac.
Pengangkutan antara 25 sektor yang dikecualikan daripada perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad akan beroperasi pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 esok.

Perkhidmatan itu termasuk Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling; Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Sungai Buloh - Kajang, Monorel dan bas Rapid.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, pihaknya akan meneliti semula kesesuaian jadual kekerapan perjalanan perkhidmatan yang digunakan.

“Memandangkan arahan itu adalah kali pertama dikuatkuasakan, kami perlu menyemak semula kesesuaian kekerapan mengikut jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

"Hal ini akan dibincangkan bersama pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum apa juga keputusan diambil, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Pusat Konsesi Hab Bas Pasar Seni juga akan dibuka seperti biasa untuk kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar dan warga emas mendapatkan diskaun 50 peratus perjalanan.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi akaun twitter dan Instagram serta web Facebook @myrapid atau talian 03-78852585.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan selama dua minggu di seluruh negara mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.