Mahkamah tutup esok hingga 31 Mac, tangguh bicara kes

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah di seluruh negara akan ditutup bermula esok hingga 31 Mac selaras dengan keputusan kerajaan yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, bagaimanapun jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang bertugas bagi tujuan persediaan oleh mahkamah.

Katanya, bagi kesalahan yang boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa.

“Permohonan untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 akan dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas yang telah ditetapkan.

"Bagi mahkamah yang menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan notis rayuan dan dokumen-dokumen akan berjalan seperti biasa melalui sistem e-Filing, manakala bagi mahkamah yang tidak mempunyai sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan dokumen-dokumen akan hanya diterima mulai 1 April 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Terrirudin berkata, ia adalah panduan pengendalian kes-kes di mahkamah seluruh negara seperti yang diarahkan oleh Ketua Hakim Negara bagi memastikan akses kepada keadilan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata, bagi kes-kes Mahkamah Sesyen Sivil yang memerlukan kesegeraan, pemfailan boleh dibuat di mahkamah berdekatan yang mempunyai sistem e-Kehakiman di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai contoh, bagi kausa tindakan di Bangi, kes tersebut boleh difailkan melalui sistem e-Kehakiman di Mahkamah Shah Alam.

Menurut Ahmad Terrirudin, pengurusan kes sivil secara e-Review akan terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual akan ditangguhkan dan akan diberikan tarikh yang baharu.

"Pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati kakitangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini melakukan pemeriksaan suhu kepada orang awam, peguam dan timbalan pendakwa raya yang memasuki bangunan tersebut melalui lobi utama.

“Setiap individu yang ingin memasuki mahkamah diletakkan cecair pembasmi kuman di tapak tangan oleh kakitangan mahkamah yang bertugas selain diberi pelekat biru tanda mereka berada dalam keadaan sihat," katanya. - Bernama