Perbicaraan di mahkamah seluruh negara ditangguh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding perbicaraan mahkamah di seluruh negara bermula esok sehingga 31 Mac ini akan ditangguhkan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerajaan semalam bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Walau bagaimanapun, permohonan reman bagi kes jenayah di mahkamah majistret masih boleh dilakukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu itu di seluruh negara.

Arahan ini dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh kepada semua pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Rendah Malaya dan Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak melalui satu kenyataan petang ini.

Dalam kenyataan itu, keputusan dilakukan setelah perbincangan dengan Ketua Hakim Negara selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua perbicaraan atau pendengaran kes sivil dan jenayah sepanjang tempoh 18 Mac hingga 31 Mac ini ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan atau pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan itu.

Dokumen dalam talian itu turut menyatakan bahawa pengurusan kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan adalah ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu akan dimaklumkan.

Melalui kenyataan itu lagi, bagi mahkamah yang menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan kes-kes sivil baru atau notis rayuan dan dokumen-dokumen akan berjalan seperti biasa melalui sistem eFiling.

Namun, bagi mahkamah yang tidak mempunyai sistem eKehakiman, pemfailan kes-kes sivil baru dan dokumen-dokumen hanya akan diterima mulai 1 April depan.

Artikel Berkaitan:

“Pengurusan kes sivil secara eReview akan terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual akan ditangguhkan dan akan diberikan tarikh yang baharu,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga menyebut bahawa permohonan untuk reman pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di mahkamah rendah ke atas suspek di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 akan disambung semula seperti biasa selepas tempoh perintah pergerakan terhad.

"Jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang bertugas bagi tujuan persediaan oleh mahkamah," kata kenyataan itu.