Covid-19: Beli barangan untuk simpan di rumah

Orang ramai dilihat berpusu-pusu membeli barangan keperluan khas di sebuah pasaraya di Manjoi.
Orang ramai dilihat berpusu-pusu membeli barangan keperluan khas di sebuah pasaraya di Manjoi.
A
A
A

IPOH - Orang ramai menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok, sebagai langkah pencegahan dan pengawalan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati seawal jam 9 pagi, orang ramai mula berpusu-pusu membeli barangan keperluan harian sebagai langkah awal untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Seorang suri rumah, Nurul Farahuda Mohd Nasir,36, berkata, penularan wabak itu telah menjejaskan pendapatan keluarganya setelah suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas persiaran dihentikan buat seketika.

NURUL FARAHUDA
NURUL FARAHUDA

"Suami tidak boleh bekerja sebab Covid-19 ini tambahan cuti sekolah, semua perlu duduk rumah untuk langkah awal pencegahan. Perbelanjaan memang meningkat.

"Sebelum ini, nak beli barang memang terhad namun, dengar berita Bantuan Sara Hidup (BSH) dah masuk, saya pergi bank keluarkan beli barang keperluan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pasar raya di Manjoi di sini, hari ini.

Kaunter khas dibuka berikutan kehadiran pembeli yang ramai.
Kaunter khas dibuka berikutan kehadiran pembeli yang ramai.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat ramai yang beratur membayar barangan yang dibeli.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya tidak pernah sesak begini kecuali musim perayaan tetapi kali ini sangat luar biasa. Saya perlu beratur panjang untuk bayar barangan. Namun, saya hanya membeli mengikut keperluan dan bajet keluarga," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norma Samah 47, berkata, pembelian empat kampit beras, minyak masak dan telur adalah sebagai persediaan untuk menyahut saranan kerajaan agar mengawal pergerakan dengan tinggal di rumah.

NORMA
NORMA

"Walaupun kerajaan tidak menggalakkan pembelian panik dan memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi, saya membeli kali ini untuk simpanan di rumah.

"Keperluan yang ada ini cukup bertahan untuk dua atau tiga minggu," katanya.

Seawal jam 10 pagi, orang ramai mula beratur untuk membayar keperluan harian.
Seawal jam 10 pagi, orang ramai mula beratur untuk membayar keperluan harian.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Zon Utara Mydin Mohamed Holdings Bhd, S Vishnu Varthana berkata, barang keperluan asas boleh menampung keperluan pembeli kecuali topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang terhad.

"Antara barangan yang cepat habis adalah makanan sejuk beku, makanan tin, mi segera, tisu selain beras, gula dan tepung. Topeng muka agak terhad.

"Selaras dengan saranan kerajaan, Mydin akan beroperasi setengah jam lebih awal dan berhubung pembelian yang agak ramai, kaunter khas dibuka untuk warga emas," katanya.