X

Kindly register in order to view this article
!

Pasar raya terus jadi tumpuan orang ramai

Beberapa rak pasar raya mulai kosong kerana kehabisan bekalan.
A
A

SHAH ALAM - Meskipun pasar raya tidak akan ditutup dalam Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac, namun lokasi tersebut masih menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian di dua pasar raya besar di sini pagi tadi mendapati beberapa barangan seperti beras, minyak, telur, gula, makanan dalam tin dan mi segera mendapat permintaan tinggi.

Menurut seorang pelajar, Nik Dhaniyah Nik Husni, 24, dia menemani ibu bapanya membeli barang keperluan harian untuk kegunaan keluarga bagi tempoh dua minggu.

Katanya, walaupun membeli barang di pasar raya adalah rutin bulanan, namun jumlah pembelian kali ini lebih banyak.

"Biasa ayah berbelanja dalam RM300 tapi hari ini lebih RM1,000 kerana bimbang dengan situasi sekarang yang mungkin boleh berlarutan. Memang betul, pasar raya tidak ditutup, tapi ayah bimbang seandainya kenderaan tidak dibenarkan berada di jalan raya jika kes virus ini semakin meruncing.

"Saya pun cuti sebulan selepas universiti ditutup sementara dan kami sekeluarga korbankan masa balik kampung dan bercuti bagi menyokong usaha kerajaan membendung penularan virus ini," katanya.

Nik Dhaniyah menemani ibu bapanya membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Shah Alam pagi tadi.
Nik Dhaniyah menemani ibu bapanya membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Shah Alam pagi tadi.

Sementara itu seorang pekerja swasta, M Sujits, 29, berkata, dia tidak melakukan pembelian panik kerana jumlah barangan dibeli sekadar keperluan untuk beberapa hari.

Menurutnya, orang ramai tidak seharusnya mencetuskan suasana panik bagi mengelak keadaan lebih teruk.

"Memang ramai pelanggan di pasar raya hari ini dan saya rasa ini tidak bagus kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak memakai penutup mulut dan hidung.

"Kita semua perlu memberi kerjasama kepada usaha kerajaan demi kebaikan bersama supaya penularan wabak tidak jadi teruk," katanya.

Sujits
Sujits

Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Shima pula berkata, dia juga tidak melakukan pembelian panik sebaliknya membeli barang mengikut keperluan harian.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mengumumkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Perintah Kawalan Pergerakan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah tersebut meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, perkhidmatan penting, pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka tetap dibuka kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac

Keadaan di sebuah pasar raya di Shah Alam pagi tadi.
Keadaan di sebuah pasar raya di Shah Alam pagi tadi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!