Syarikat aksesori didakwa miliki 1,622 jam tiruan

Azmah Shaheen (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan memiliki barang tiruan.
Azmah Shaheen (dua dari kanan) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan memiliki barang tiruan.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah syarikat aksesori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini terhadap tuduhan memiliki 1,622 unit jam tiruan berjenama Casio di sebuah premis perniagaan di sini pada 9 Mac lalu.

Hakim, Siti Aminah Ghazali merekodkan pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap Azmah Shaheen Sheh Rahman, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) dalam prosiding pagi tadi.

Syarikat itu tidak mengaku memiliki jam berjenama Casio iaitu model Casio sebanyak 381 unit, model Baby-G (513 unit), G-Shock (667 unit) dan model Edifice 61 unit yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan syarikat terbabit di sebuah premis perniagaan di Kuantan, jam 3 petang pada 9 Mac lalu.

Syarikat milik Azmah Shaheen didakwa mengikut Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019 dan Seksyen 102 (1)(c) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102 (1)(ii) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP), Syamsul Kahar Ahmad Nadri menawarkan ikat jamin RM5,000 terhadap OKS.

Azmah Shaheen bersetuju dengan jumlah ikat jamin ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dan menetapkan sebutan kes pada 18 Mei depan.