'Jangan pulang ke kampung, kekal di mana anda berada'

Kemungkinan ramai yang sedang mempertimbangkan untuk pulang ke kampung kerana kerisauan akibat penularan Covid-19. Gambar kecil: Adeeba
Kemungkinan ramai yang sedang mempertimbangkan untuk pulang ke kampung kerana kerisauan akibat penularan Covid-19. Gambar kecil: Adeeba
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan untuk tidak tergesa-gesa pulang ke kampung, sebaliknya kekal berada di tempat tinggal masing-masing.

Ahli Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, seluruh rakyat Malaysia yang kini sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini perlu mengambil perhatian tentang perkara itu.

"Apa yang penting di sini adalah jangan pulang ke kampung atau mereka dari kampung pun jangan datang ke bandar.

"Kekal di mana anda berada. Kurangkan perjalanan," kata beliau dalam program Consider This di Astro AWANI 501 malam tadi.

Dr Adeeba memberi reaksi tersebut ketika ditanya tentang kemungkinan ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang mempertimbangkan untuk pulang ke kampung kerana kerisauan akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu Perutusan Khas malam tadi mengumumkan kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah kawalan itu meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, perkhidmatan penting serta pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac