Bank diminta tangguh, jadual semula pinjaman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan untuk memberikan diskaun tenaga elektrik kepada pengguna domestik, perindustrian, komersial dan pertanian amat dihargai.

Bagaimanapun, kita juga amat berharap agar institusi kewangan turut mengambil langkah sama untuk membuat penjadualan semula atau penundaan pembayaran bagi pinjaman perumahan dan kenderaan selaras dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Langkah tersebut wajar diambil oleh institusi perbankan sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk melakukan perintah berkurung di seluruh negara.

Dengan penjadualan semula bayaran, secara tidak langsung dapat membantu untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang terkesan daripada penutupan operasi syarikat buat sementara waktu.

Selain itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut disarankan untuk mengambil langkah yang serupa termasuk agensi-agensi di bawah kerajaan yang memberikan pembiayaan kepada rakyat seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Bantuan yang diberikan itu akan memberikan kelegaan serta mengurangkan tekanan yang terpaksa ditanggung oleh peminjam.

Ini merupakan satu pengorbanan besar dan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh pihak yang terlibat.

Untuk itu, kerajaan juga boleh membantu syarikat-syarikat yang terlibat dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan atau insentif khas.

Artikel Berkaitan:

Buat masa sekarang, langkah kerajaan menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) yang bernilai RM20 bilion juga amat dialu-alukan.

LAKSANA akan memastikan inisiatif diumumkan di bawah PRE 2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara.

Semoga negara yang kita cintai ini akan dapat mengharungi waktu-waktu sukar dan kembali pulih semula seperti sediakala.