Anak mohon orang ramai doakan kesihatan Zulkifli Zain

FOTO: Instagram Norzizi Zulkifli
FOTO: Instagram Norzizi Zulkifli
A
A
A

KEADAAN kesihatan pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, yang kini sedang dirawat di Hospital UiTM Sungai Buloh semenjak 6 Mac lalu, akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang, dilaporkan semakin merosot apabila mengalami pendarahan dalam otak.

Menurut anak sulung pelakon tersebut yang juga merupakan pelakon dan pengarah, Dr. Norzizi Zulkifli sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal, keadaaan kesihatan bapanya kini tidak stabil semenjak tiga hari lalu.

“Ada kala sedar dan dengar arahan, ada masa tidak faham. Keadaannya seperti mamai. Bagaimanapun, dia tidak memberikan respon dan makanan disuapkan pun tidak digigit, semalam,” katanya sebagaimana dilaporkan.

Bagaimanapun, jelas Norzizi, doktor memaklumkan pendarahan otak yang dialami bapanya itu tidak merebak dan mempunyai peluang untuk kembali sembuh.

Mewakili keluarganya, Norzizi memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan buat bapanya dan dipermudahkan urusan rawatan yang dijalani.

Terdahulu sebelum itu, Zulkifli yang mula dikenali menerusi filem Jiwa Remaja itu mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Malah suami kepada pelakon veteran, Datin Normala Omar dan bapa kepada lima anak itu mengalami lumpuh dan berkerusi roda sejak beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan: