Pesaing Netanyahu dilantik bentuk kerajaan perpaduan

Gantz (kiri) dilantik oleh Rivlin untuk membentuk kerajaan baharu. - FOTO: AGENSI
Gantz (kiri) dilantik oleh Rivlin untuk membentuk kerajaan baharu. - FOTO: AGENSI
A
A
A

TEL AVIV - Bekas Ketua Tentera, Benny Gantz hari ini dilantik untuk membentuk kerajaan baharu di tengah-tengah ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk membentuk kerajaan nasional, patriotik yang meluas. Saya sememangnya mahukan kerajaan perpaduan," katanya yang turut menggesa pesaing, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyertainya.

Kelmarin, Presiden Israel, Reuven Rivlin bertemu kedua-dua pemimpin politik saingan itu untuk membentuk Kabinet perpaduan bagi menangani krisis Covid-19.

Pertemuan bersama Netanyahu daripada Parti Likud dan Gantz yang memimpin Parti Biru dan Putih itu bagaimanapun gagal mencapai sebarang perjanjian.

Kedua-duanya bagaimanapun bersedia menyambung semula rundingan tersebut.

Pelantikan Gantz dibuat selepas beliau meraih sokongan 61 ahli di Knesset yang mempunyai 120 kerusi bagi menamatkan kebuntuan politik yang berlarutan selama lebih setahun di Tel Aviv.

Pada 2 Mac lalu, Pilihan Raya Umum ketiga diadakan di Israel dalam tempoh 12 bulan yang menyaksikan kemenangan blok sayap kanan pimpinan Netanyahu dengan 36 kerusi berbanding Gantz yang meraih 31 kerusi. - Agensi

Artikel Berkaitan: