Lima acara besar di Kedah dibatalkan akibat Covid-19

Mukhriz (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wabak Koronavirus peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wabak Koronavirus peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah membatalkan atau menangguhkan lima acara besar di negeri ini sebagai langkah pencegahan mengekang penularan wabak Koronavirus (Covid-19) susulan peningkatan kes dalam negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, antara program yang ditangguhkan adalah Forum Keseimbangan Peranan Wanita sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri yang dijadual diadakan pada 19 Mac.

Menurutnya, Festival Kota Kuala Kedah yang dirancang pada 18 Mac serta Pesta Songkran turut ditangguhkan.

“Kita turut membatalkan majlis sambutan Israk Mikraj pada 22 Mac ini di Tebengau. Saya dimaklumkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bahawa Festival Langkawi pada April depan ditangguhkan ke November,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wabak Koronavirus peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, sebarang pembatalan acara keramaian lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Secara umumnya, semua majlis dan acara keramaian anjuran kerajaan negeri dibatalkan. Bagi program peringkat daerah, pembatalan progam dikeluarkan oleh pejabat daerah masing-masing,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini orang ramai dinasihatkan mengelak daripada menghadiri majlis tumpuan ramai, termasuk kenduri dan sekiranya tidak dapat dielakkan hendaklah mematuhi panduan diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Panduan itu boleh didapati di laman web kerajaan termasuk KKM berhubung penganjuran atau hadiri majlis keramaian. Saya mohon rakyat Kedah supaya tidak panik, keadaan terkawal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, pihaknya juga membatalkan semua program lawatan kerja ke luar negara atas faktor keselamatan.

“Jabatan Imigresen bersiap sedia membuat saringan terhadap pelawat asing di sempadan Kedah. Sekiranya ada individu mempunyai simptom termasuk suhu badan tinggi, mereka akan diberikan notis penolakan,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk rakyat Kedah melakukan pembelian panik susulan tiada perintah berkurung seperti tular di media sosial.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan bekalan makanan mencukupi termasuk keperluan harian. Kalau pun berlaku perintah berkurung, harap tidak berlaku, kita mempunyai bekalan makanan dan barangan mencukupi, adalah penting reaksi tidak keterlaluan untuk tangani wabak ini,” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pakej rangsangan ekonomi untuk merancakkan sektor pelancongan, seperti diumumkan sebelum ini.

“Senarai rangsangan yang kita sediakan peruntukannya antara lain, pakej melibatkan projek skala kecil bagi menyuntik aliran tunai ke Kedah berjumlahh RM91.24 juta, melibatkan projek ameniti, masjid, jalan dan sebagainya yang kelak membantu sektor pembinaan dan peluang kerja,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut membuat permohonan pakej rangsangan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM23.3 juta, menerusi pakej rangsangan 2020 yang diumumkan.

“Ia melibatkan pembaikan dan naik taraf bangunan serta kemudahan awam” katanya.

Mukhriz berkata, terdapat 11 Pejabat Kesihatan Daerah meliputi 60 klinik kesihatan dan sembilan hospital bersedia memberi khidmat diperlukan untuk menangani wabak ini.

“Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) dikhususkan untuk rawatan, malah di enam pintu masuk antarabangsa juga disediakan peralatan imbasan suhu terhadap pelawat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa peka dengan situasi terkini Covid-19 dan sentiasa mengambil sikap berjaga-jaga, agar rakyat negeri ini tidak perlu panik.