Bung Mokhtar maklumkan Menteri Kewangan syor labur RM150 juta

Bung Mokhtar - FOTO ZAHID IZZANI
Bung Mokhtar - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu mengesyorkan supaya agensi itu melabur sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual pada 2015.

Dr Habibah Suleiman, 72, berkata, beliau tidak tahu amaun pelaburan yang dipohon ialah RM150 juta sedangkan jumlah yang diluluskan mesyuarat ALP hanya RM50 juta. Bung Moktar merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu.

“Pihak ALP ada bertanya kepada YB Datuk Bung Moktar berkaitan perbezaan amaun yang telah dilaburkan di dalam Unit Amanah Public Mutual. YB Bung menyatakan bahawa beliau telah berjumpa dengan Menteri Kewangan dan membawa surat permohonan Felcra untuk mendapatkan kelulusan. YB Bung telah memberitahu pihak ALP bahawa Menteri Kewangan yang telah mengesyorkan kepada beliau untuk melabur RM150 juta.

“Saya beranggapan bahawa beliau (Bung) telah mengubah amaun RM50 juta kepada RM150 juta setelah syor sebegitu dimaklumkan kepada beliau,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad, yang juga seorang pelakon.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, berdasarkan surat jawapan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), pihak MKD tidak mempunyai halangan terhadap permohonan Felcra untuk melabur sebanyak RM150 juta.

“Butiran lain juga menyatakan bahawa Lembaga Pengarah perlu memastikan bahawa Felcra Berhad melaksanakan pemantauan secara berterusan ke atas prestasi pelaburan bagi memastikan mitigasi risiko dapat dilaksanakan lebih awal sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam pasaran ekuiti,” katanya.

Beliau berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada pihak ALP setelah pelaburan dibuat dalam unit amanah itu dan mereka juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai amaun itu (RM150 juta).

Ketika ditanya Roslan bila kali pertama beliau tahu jumlah pelaburan itu bertambah daripada RM50 juta kepada RM150 juta, Habibah berkata “semasa mesyuarat ALP pada bulan April 2015.”

Artikel Berkaitan:

Roslan: Mengapakah kamu tidak mengemukakan bantahan terhadap keputusan itu?

Habibah: Keputusan untuk menaikkan jumlah pelaburan kepada RM150 juta dibuat oleh Menteri Kewangan (ketika itu), jadi siapalah saya untuk membantah perkara tersebut.

Peguam Datuk K.Kumaraendran mewakili Zizie Ezette manakala peguam M.Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar.

Bung Moktar, 60, berdepan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Ezette, sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual ketika beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.

Dia juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. - Bernama