X

Kindly register in order to view this article
!

Guna 'hand sanitizer' dengan kadar alkohol 60 hingga 80 peratus

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna disarankan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman yang melekat pada permukaan tangan.

Koordinator Perubatan Malaysian Medical Relief Society (Mercy Malaysia), Masniza Mustaffa berkata, peratusan yang sama juga disarankan bagi cecair pembasmi kuman bebas alkohol yang menggunakan kompaun kimia 'quaternary ammonium' iaitu benzalkonium klorida.

Kadar alkohol tinggi lebih 80 peratus adalah kurang sesuai kerana sifat bahan itu cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.

"Cara penggunaan cecair itu sama seperti amalan mencuci tangan tetapi tempoh lebih singkat kerana cecair pembasmi kuman cepat kering.

"Untuk kesan maksimum, amat disarankan mencuci tangan dengan bersih supaya tiada kekotoran yang menghalang cecair pembasmi kuman ketika disapu pada permukaan kulit," katanya selepas menjadi panel jemputan program berbahasa Inggeris, Bernama Today yang disiarkan di Bernama TV (BTV) hari ini.

Antara jenis kompaun kimia beralkohol yang digunakan dalam cecair pembasmi kuman adalah ethanol (ethyl alcohol), 'rubbing alcohol' atau ' isopropyl alcohol'.

Masniza berkata, cecair pembasmi kuman jenis gel atau lebih cair (berasaskan air) dan tisu basah boleh digunakan jika kandungan bahan beralkohol itu pada kadar 60 hingga 80 peratus.

Beliau turut menekankan amalan membasuh tangan dengan sabun secara kerap dan bersih merupakan cara paling mudah serta berkesan untuk membendung jangkitan kuman.

“Membasuh tangan dengan sabun adalah piawai emas untuk kawalan dan pencegahan jangkitan,” katanya.

Pada Khamis lepas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan mengesahkan penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat kerana hukumnya adalah harus dan dimaafkan.

Kenyataan sama turut menyebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan juga memutuskan bahawa alkohol yang tidak melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum, berbanding alkohol daripada proses pembuatan arak yang hukumnya adalah haram dan najis. - Bernama