Muhyiddin umum langkah Malaysia urus situasi Covid-19 malam ini

Muhyiddin semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 - Foto Bernama
Muhyiddin semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan malam ini bagaimana Malaysia akan mengurus situasi koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai Covid-19 malam ini dengan kementerian dan agensi yang terlibat di bawah Majlis Keselamatan Negara untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani krisis tersebut.

"Kita memandang serius perkara ini, kita telah memasuki gelombang kedua masalah ini dan sememangnya, jumlah kes meningkat.

"Jadi, kita akan mengumumkan malam ini untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia secara umum bagaimana kita akan menguruskannya (Covid-19)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri kanan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut hadir pada sidang media itu.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan sekatan keluar masuk (lockdown), Muhyiddin berkata: "Sabar".

Mengenai kebimbangan kekurangan ventilator untuk pesakit Covid-19 di hospital kerajaan, beliau berkata, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada Kementerian Kesihatan untuk memperoleh ventilator bagi memastikan mesin itu tersedia apabila diperlukan.

"Kementerian Kesihatan telah memaklumkan kepada saya bahawa terdapat keperluan untuk menambah jumlah ventilator, bukan hanya katil," katanya sambil menambah bahawa sesetengah orang yang menderita penyakit itu mengalami sesak nafas dan memerlukan ventilator.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kerajaan akan berkomunikasi dengan China mengenai langkah-langkah pemulihan Covid-19, Muhyiddin berkata, ia tidak perlu pada masa ini tetapi menambah bahawa beliau percaya Kuala Lumpur boleh belajar dari Beijing.

Beliau berkata, China agak berjaya dalam mengendalikan Covid-19 dan berpengalaman dalam melawan penyakit itu.

"Tetapi bagi kita, sudah tentu, kita mempunyai semua langkah yang telah ditetapkan untuk kita meneruskan apa yang dirasakan perlu," katanya.

Ditanya mengenai seorang menteri Kabinet yang dilaporkan terdedah kepada pesakit positif Covid-19, Muhyiddin berkata, menteri itu telah disahkan negatif dan sihat.

"Beliau sudah kembali bekerja. Setakat yang saya tahu, beliau normal seperti anda," katanya. - Bernama