RM3.88 bilion diperuntukkan tambah baik Pakej Rangsangan Ekonomi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
--fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
--fotoBERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM3.88 bilion bagi menambah baik Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 susulan kemerosotan ekonomi akibat wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu meliputi empat langkah pengukuhan pakej tersebut.

Menurutnya, sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk bantuan kepada setiap pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

"Setiap pekerja yang terjejas itu akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM600 untuk tempoh maksimum enam bulan.

"Peruntukan sebanyak RM120 juta ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 33,000 pekerja.

"Bantuan ini juga hanya layak dinikmati oleh pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac lalu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memperincikan mesyuarat EAC yang pertama kali dipengerusikannya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bantuan yang diumumkan itu merupakan antara langkah untuk menambah baik dan memperkukuhkan lagi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kata Muhyiddin, langkah tambahan lain yang turut diambil ialah diskaun caj elektrik untuk sektor komersial, perindustrian dan pertanian melibatkan peruntukan RM500 juta.

"Kategori perniagaan yang terjejas berikutan Covid-19 terutamanya sektor pelancongan akan menerima diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020.

"Mengambil kira penularan wabak ini menyebabkan impak yang lebih meluas, kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September depan," katanya.

Katanya, Bantuan Sara Hidup (BSH) turut diawalkan ke 16 Mac ini berbanding tarikh asal Mei depan.

"Bayaran berjumlah RM760 juta ini akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah.

"Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 akan dibayar pada bulan Mei ini melibatkan RM500 juta yang akan memanfaatkan lima juta penerima," katanya.

Turut tersenarai dalam langkah tambahan itu adalah Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM2 bilion.