Wan Fayhsal cabar Syed Saddiq bagi jawatan Ketua Armada

Wan Fayhsal memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas menghantar borang pencalonannya di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya petang ini.
Wan Fayhsal memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas menghantar borang pencalonannya di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya petang ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengesahkan bertanding jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang disandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Wan Fayhsal yang juga merupakan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu dan antara orang kuat Syed Saddiq dalam parti itu berkata, beliau bertanding kerana telah diberi mandat oleh akar umbi.

"Saya bertanding bukan untuk jawatan atau membelakangi mantan ketua saya YB Syed Saddiq tapi kerana saya telah diberi mandat oleh akar umbi dan juga majlis pimpinan tertinggi parti untuk menyertai pertandingan calon Ketua Armada," katanya.

Wan Fayhsal memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas menghantar borang pencalonannya di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya petang ini.

Pengumuman Wan Fayhsal menjadikan jawatan tertinggi sayap pemuda parti itu akan ditandingi secara tiga penjuru selain seorang lagi calon iaitu Mohd Muzammil Ismail.

Sebelum itu, kira-kira jam 11 pagi, Syed Saddiq turut dilihat hadir menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Sebelum 'Langkah Sheraton' yang mencetuskan krisis kepemimpinan Bersatu, Wan Fayhsal merupakan pembantu kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu, namun kedua-duanya berpaling arah setelah Wan Fayhsal mengambil keputusan menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara Syed Saddiq setia menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau diberi 'mandat' oleh Presiden Bersatu itu untuk bertanding bagi jawatan Ketua Armada, Wan Fayhsal bagaimanapun menafikan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak boleh cakap secara begitu. Yang pasti, saya mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi parti," tegasnya.

Beliau berkata, agenda utamanya adalah untuk menyatukan parti dan memastikan pemerkasaan parti berjalan seperti biasa, iaitu dalam konteks baharu parti itu yang kini menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional.