Covid-19: Al-Azhar keluar fatwa harus tangguh solat Jumaat

Al-Azhar -Foto AFP
Al-Azhar -Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Council of Senior Religious Scholars Al-Azhar pada Ahad meluluskan fatwa harus menangguhkan solat Jumaat termasuklah solat berjemaah di masjid, jika perlu, susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Memetik kenyataan berbahasa Arab pertubuhan yang diketuai Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb, agensi berita Anadolu melaporkan keputusan itu dipersetujui pada Ahad (15 Mac) dan disiarkan di laman sosial Facebook pertubuhan berkenaan.

Serentak dengan penangguhan ibadat itu lafaz azan boleh diubah daripada kelaziman ‘hayya ‘ala al-Salah’ (marilah menunaikan solat) kepada ‘Sollu fi buyutikum’ (tunaikanlah solat di rumah anda).

Terdahulu pada Jumaat lepas, Kesatuan Ulama Muslim Sedunia yang kini dipengerusikan Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni turut menyeru negara terjejas dengan wabak Covid-19 menangguhkan solat Jumaat sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.

Khamis lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, serta menegaskan penularan dan keadaan wabak sangat teruk serta membimbangkan.-Bernama

Artikel Berkaitan: