125 lagi kes baharu Covid-19 hari ini

Pegawai pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang mengagihkan penutup hidung dan mulut yang akan diberikan kepada para pengunjung di tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19 hari ini. -Foto Bernama
Pegawai pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang mengagihkan penutup hidung dan mulut yang akan diberikan kepada para pengunjung di tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr adham Baba.

Beliau berkata 95 daripada 125 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

"Sehingga kini, sebanyak 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media berkaitan kluster itu, di sini hari ini.

Dr adham berkata dengan mengambil kira situasi terkini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memasuki tahap pembendungan akhir.

"Dalam tahap pembendungan akhir, ia bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata KKM juga dalam persediaan untuk memasuki tahap mitigasi dengan beberapa langkah telah diambil.

"Antara langkahnya ialah menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai ‘admitting hospital’ khusus untuk kes positif COVID-19; meningkatkan kapasiti dan kapabiliti makmal untuk menjalankan pengesanan jangkitan itu, mengenal pasti pusat-pusat kuarantin di seluruh negara; dan bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan fasiliti swasta dalam pengurusan kes COVID-19,” katanya.

Dr adham juga memohon kerjasama rakyat Malaysia dalam memerangi COVID-19, dengan sentiasa mengamalkan tahap kebersihan optimum dan etika batuk yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga perlu menangguhkan penganjuran perhimpunan yang melibatkan orang ramai, tidak menghadiri perhimpunan yang melibatkan orang ramai, mengamalkan jarak sosial dan menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke bandar yang diisytiharkan mengalami penularan wabak COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media yang memaparkan senarai bilangan COVID-19 mengikut negeri menunjukkan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 144 kes; diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (106); Sabah (57); Johor (52); dan Negeri Sembilan 42 kes.

Kedah pula mencatatkan 31 kes; Sarawak (21); Pahang (19); Perak dan Kelantan (masing-masing 18); Pulau Pinang (15); Melaka (14); Perlis (8); dan Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing empat kes.