Penipuan pemilihan: Bersatu Selangor lakukan siasatan dalaman

Abdul Rashid Asari
Abdul Rashid Asari
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor akan menjalankan siasatan dalaman berhubung tindakan tujuh individu yang didakwa melakukan penipuan sewaktu pemilihan cawangan parti itu di Klang.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, menerusi maklumat diterima, pihaknya telah mengenalpasti tujuh individu yang dikatakan terlibat dengan penipuan tersebut.

Beliau berkata, buat masa ini, kepimpinan parti memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

"Saya tak tahu apa perkembangan kes itu kerana ia masih dalam siasatan polis. Kita juga akan adakan siasatan dalaman selepas ini," katanya kepada wartawan selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke 14, hari ini.

Semalam, tujuh individu ditahan polis kerana disyaki menipu dengan meletakkan nama individu lain pada kad pengenalan ketika pemilihan cawangan Bersatu di Klang.

Menurut sumber, perbuatan tersebut berjaya dikesan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) ketika pemberian kertas undi.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, sekiranya siasatan mendapati individu terlibat dibuktikan bersalah, tindakan disiplin akan dikenakan kepada mereka selepas ini.

" Bagi parti, jika mereka dibuktikan bersalah, tindakan disiplin akan dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemilihan bagi bahagian lain juga akan berjalan seperti biasa selepas ini dan tarikh akhir mesyuarat adalah pada 29 Mac.-Bernama