Kerajaan tubuh Laksana pantau pakej rangsangan ekonomi

Zafrul Aziz - Foto Bernama
Zafrul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di Kementerian Kewangan bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 yang bernilai RM20 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dalam kenyataannya berkata, penubuhan unit itu akan memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PRE 2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Ini bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara," katanya.

Menurutnya, kerajaan komited bagi memastikan kesemua inisiatif yang telah diumumkan dalam PRE 2020 dapat dilaksanakan dengan segera dan efektif.

"Dengan itu, Laksana akan berperanan bagi memastikan pelaksanaan langkah baharu dan penambahbaikan PRE 2020.

"Laksana juga akan membuat laporan secara berkala kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan rangsangan ekonomi," katanya.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan RM20 bilion sebagai PRE 2020 akibat penularan Covid-19.

Tiga strategi diperkenalkan iaitu Menangani Impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Artikel Berkaitan: