Jakim setuju cadang penutupan masjid: Dr Asri

Mohd Asri Zainul Abidin
Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju untuk mencadangkan penutupan masjid-masjid dan menggantung sementara semua kegiatan di masjid selama 10 hari.

Cadangan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diadakan di Pulse Grande Hotel Putrajaya malam tadi.

Perkara itu dinyatakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu catatan di Instagram sebentar tadi.

Dr Asri berkata, solat jemaah serta solat Jumaat juga disarankan tidak diadakan sepanjang tempoh itu dan keputusan itu diambil dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, tempoh itu mungkin akan dilanjutkan atau akan ditamatkan berdasarkan taklimat KKM dan perkembangan semasa yang akan dimaklumkan kelak.

"Selepas satu sesi muzakarah khas malam tadi, berasaskan pandangan KKM, alhamdulillah, pihak Jakim bersetuju mencadangkan agar masjid-masjid ditutup daripada semua aktiviti termasuk solat jemaah dan solat Jumaat selama 10 hari.

"Penamatan atau perlanjutan tempoh selepas itu akan dimaklumkan semula berdasarkan taklimat KKM. Pengumuman rasmi akan dibuat nanti," tulis Dr Asri di akaun Instagramnya sebentar tadi.

Perkembangan terbaru itu juga susulan beberapa kes jangkitan koronavirus (Covid-19) yang dikaitkan dengan sebuah perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling dianjurkan antara 27 Februari hingga 1 Mac.

Artikel Berkaitan: