Covid-19: 12 pusat pemeriksaan di Melaka

Covid-19 -Foto 123rf
Covid-19 -Foto 123rf
A
A
A

MELAKA- Sebanyak 12 pusat pemeriksaan atau tapisan kesihatan koronavirus (Covid-19) disediakan di tiga daerah di negeri ini yang beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, orang ramai boleh menjalani pemeriksaan atau tapisan kesihatan di lima lokasi di Daerah Melaka Tengah iaitu Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh, KK Tengkera, KK Seri Tanjung, KK Peringgit dan KK Ayer Molek.

Di Daerah Alor Gajah, lima pusat tapisan kesihatan turut dibuka iaitu KK Rembia, KK Kuala Sungai Baru, KK Alor Gajah, KK Masjid Tanah dan KK Durian Tunggal.

Di Daerah Jasin, proses tapisan kesihatan Covid-19 boleh dibuat di KK Merlimau dan KK Simpang Bekoh.

Kriteria tapisan kesihatan melibatkan mereka yang demam atau mengalami jangkitan salur pernafasan akut (tiba-tiba) dengan mana-mana satu simptom berikut - sesak nafas, batuk dan sakit tekak.

Turut perlu menjalani tapisan kesihatan ialah sesiapa yang ada sejarah melawat atau tinggal di negara terjejas iaitu China (termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan), Korea Selatan, Itali, Iran dan Jepun dalam tempoh 14 hari sebelum gejala.

Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 14 hari sebelum gejala turut dikehendaki menjalani tapisan kesihatan, menurut kenyataan itu.-Bernama

Artikel Berkaitan: