Tak puas hati jururawat dikenakan tindakan

Gambar Facebook Delegasi Jururawat Malaysia.
Gambar Facebook Delegasi Jururawat Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Delegasi Jururawat Malaysia mempersoalkan pihak atasan yang mengenakan tindakan terhadap seorang jururawat berpakaian seragam yang cuba memberi pendidikan kesihatan pembasuhan tangan dengan betul melalui media sosial.

Menurut delegasi tersebut, keadaan tersebut disifatkan mengecewakan kerana tugas hakiki seorang jururawat tidak hanya terikat dengan wad dan klinik semata-mata.

“Kami dapat tahu bahawa terdapat seorang jururawat memberi penjelasan kepada pihak atasan mengapa beliau merakamkan kaedah cucian tangan dengan betul melalui media sosial. Rasional tindakan hanya berdasarkan atas faktor beliau sedang memakai pakaian seragam jururawat.

“Adakah beliau cuba mempromosikan produk atau mengiklankan dirinya untuk kepentingan diri? Adakah beliau menunjukkan kaedah yang salah dalam menyebarkan pendidikan kesihatan yang berguna kepada masyarakat memandangkan penularan wabak Covid-19?" kata Delegasi Jururawat Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam kenyataan sama, Delegasi Jururawat Malaysia juga menegaskan bahawa seorang jururawat yang berfikiran kritis akan cuba ambil peluang untuk mendidik masyarakat tentang maklumat kesihatan yang betul setiap kali diberi kesempatan.

Katanya, jururawat seharusnya sentiasa mendidik masyarakat tidak kira masa, tempat atau individu sebagaimana disarankan International Council of Nurses sempena Hari Jururawat 2020, A Voice To Lead: Nursing the World to Health.

“Pihak atasan yang cuba mengekang jasa dan usaha baik jururawat menyebarkan ilmu melalui media sosial adalah kami kira sebagai jahil, cetek dan tidak memahami akan apa itu kejururawatan, semangat dan nilai kejururawatan sebenar.

“Pada mereka, jururawat itu mempunyai tanggungjawab hanya di penempatan klinikal semata-mata dan tidak seharusnya melaksanakan pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat tanpa mengira masa dan ketika,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Delegasi Jururawat Malaysia turut mempersoalkan sama ada jururawat tidak lagi boleh melaksanakan kempen kesihatan di luar hospital pada masa akan datang ataupun memberikan pendidikan kesihatan secara bebas berikutan tindakan dikenakan terhadap jururawat terbabit.

“Mohon ambil perhatian terhadap isu ini. Jangan kita bersikap inferior terhadap karier sendiri sehinggakan usaha individu untuk mempromosikan kesihatan awam dan kejururawatan kepada masyarakat. Dah penat dengan golongan atasan yang tak celik,” katanya.