Kemenangan ke atas Selangor suntik semangat pasukan Kedah

Perlawanan Liga Super antara Pasukan Kedah dengan Pasukan Selangor di Stadium Darul Aman malam ini berlangsung tanpa penonton berikutan penularan virus Covid-19. - Foto Bernama
Perlawanan Liga Super antara Pasukan Kedah dengan Pasukan Selangor di Stadium Darul Aman malam ini berlangsung tanpa penonton berikutan penularan virus Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR- Kemenangan 2-0 ke atas Selangor menyuntik semula semangat dan keyakinan semua pemain Skuad Lang Merah untuk terus mencipta kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun tewas dua kali dan seri sekali bertemu Johor Darul Ta’zim, Terengganu dan UiTM FC, namun atas tekad yang tinggi untuk menang, mereka cekal berusaha dan berhasil mengutip tiga mata.

“Kita tahu perlawanan bukan mudah sebab Selangor tak pernah kalah selepas tiga perlawanan, kredit kepada semua pemain kerana mereka berusaha dan tidak putus asa untuk menang perlawanan ini.

“Tak ada perubahan taktikal, tetapi motivasi pemain sendiri yang mahukan kemenangan, walaupun tanpa penyokong, mereka tetap main peranan dengan baik di setiap bahagian,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Aidil mengingatkan pemainnya agar tidak ambil mudah dengan permainan pihak lawan.

“Kita akan terus berusaha keras untuk perlawanan seterusnya bertemu PDRM, pemain jangan ambil mudah... kita juga kena gandakan latihan, tingkatkan kecergasan dan fokus untuk mencipta kemenangan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan berkata, pemainnya tidak bermain pada tahap sebenar malam ini dan cetek idea untuk memecahkan benteng pertahanan pasukan Kedah untuk menjaringkan gol.

“20 minit pertama kita kawal dan main dengan baik, tetapi selepas Kedah mendahului satu gol, kita dah hilang fokus, separuh masa kedua kita cuba bangkit, ramai yang main macam ada tekanan, sepatutnya itu tidak boleh berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap, saya ada masa untuk baiki kesilapan selepas Liga Malaysia ditangguhkan, dan kalau ada import yang tak memberi impak kepada pasukan, saya kena keluarkan,” katanya.

Kedah sekadar mengutip empat mata dalam empat kali penampilan selepas tewas dua kali bertemu Johor Darul Ta’zim dan Terengganu, manakala seri ketika bertemu UiTM FC.-Bernama