X

Kindly register in order to view this article
!

Gadis kaki palsu di puncak gunung

Arrohma berada di puncak gunung Andong. - Foto: Instagram Arrohma. Gambar kanan: Arrohma gembira tiba di gunung Andong. - Foto: Instagram Arrohma
A
A

JAWA TENGAH - Bayangkan perasaan seorang yang mempunyai fizikal sempurna kemudian berubah sekelip mata apabila kehilangan kaki kanan hingga paras betis akibat kemalangan jalan raya.

Itu yang perlu dilalui Arrohma Sukma Permada Marga Dineta selepas terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dua tahun lalu.

Bercerita lanjut, dia pernah berputus asa dan berasa rendah diri selepas kehilangan kaki yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

Namun gadis 20-an dari daerah Gresik, Jawa Tengah ini mula menyedari hidup perlu diteruskan dan mengambil keputusan untuk mencabar dirinya dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.

"Pendakian di Gunung Andong merupakan percubaan pertama saya mendaki menggunakan kaki palsu. Mengambil masa tiga jam, syukur berjaya tiba di puncak.

"Selepas kemalangan, saya pernah mendaki gunung Prahu yang terletak di kawasan Dataran Tinggi Dieng, Jawa Tengah tapi guna tongkat sahaja." katanya kepada Tribun News.

Dirinya mengakui pendakian dengan menggunakan kaki palsu lebih sukar dibandingkan menggunakan tongkat.

"Kalau naik gunung lebih senang dan cepat jika sudah biasa guna tongkat.

"Guna kaki palsu belum biasa lagi jadi ia membataskan pergerakan ketika mendaki. Namun saya percaya, saya akan mahir dan selesa dengan kaki palsu ini." katanya.

Dia tidak menyangka gambarnya mendaki menggunakan kaki palsu tular di laman sosial hingga menjadi bualan hangat netizen.

"Gambar tular itu pada ketika daki gunung Andong pada 15 Februari lalu.

"Saya tidak kisah jika gambar itu tular, lagipun ia memberi manfaat dan sumber inspirasi kepada orang lain untuk belajar erti syukur dan kuat dalam mengharungi cabaran.

"Menerima secara terbuka apa yang diberikan oleh ALLAH kerana setiap kejadian pasti ada hikmah," katanya.

Sebelum ini gambar gadis ini tular di laman sosial selepas dimuat naik di Instagram @jelajah_pendaki.

Dalam posting @jelajah_pendaki menunjukkan gambar seorang gadis berada dipuncak gunung.

Namun yang mencuri perhatian gadis ini apabila memakai kaki palsu di bahagian kaki kanan dan memengang tongkat di tangan kirinya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus