X

Kindly register in order to view this article
!

Sedekad konflik Syria

Kanak-kanak turut menjadi mangsa dalam konflik selama beberapa tahun di Syria. - Foto AFP
A
A

DAMSYIK - Konflik di Syria memasuki tahun ke-10 semalam dengan rejim Presiden Bashar al-Assad terus mengukuhkan kuasanya di negara bergolak itu yang turut menyaksikan kemerosotan ekonomi dan kuasa asing terus menunjukkan kekuatan mereka.

Ketika rakyat Syria mengadakan bantahan pada 15 Mac 2011, mereka sama sekali tidak dapat membayangkan protes antikerajaan itu akan bertukar menjadi perang saudara yang dahsyat.

Berdasarkan statistik Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria kelmarin, sekurang-kurangnya 348,000 orang telah terkorban termasuk lebih 116,000 orang awam.

Konflik juga menyebabkan lebih 11 juta orang menjadi pelarian di dalam dan luar negara.

"Revolusi selama sembilan tahun telah menggambarkan tahap penderitaan yang kita ketahui antara hidup dalam buangan, pengeboman dan kematian.

"Saya terpaksa meninggalkan pengajian di universiti dan rumah yang dibom. Kami hilang segala-galanya," kata Hala Ibrahim seorang aktivis yang kini tinggal di bandar Dana dekat wilayah Idlib.

Gambar dari udara menunjukkan kesan kemusnahan di bandar Afis akibat pertempuran oleh rejim pro-Syria di wilayah Idlib. - Foto AFP
Gambar dari udara menunjukkan kesan kemusnahan di bandar Afis akibat pertempuran oleh rejim pro-Syria di wilayah Idlib. - Foto AFP

Berasal dari bandar utara Aleppo, Hala terpaksa berpindah ke Idlib pada hujung 2016 selepas rejim al-Assadf merampas semula kawasan yang dikuasai pemberontak.

Kawasan barat laut yang merupakan kubu pemberontak terakhir di Syria adalah sasaran terbaru rejim.

Rejim Presiden berjaya mengawal lebih 70 peratus bahagian di Syria dengan sokongan tentera Rusia, Iran dan kumpulan militan Lubnan, Hezbollah.

Pada awal bulan ini, gencatan senjata berkuat kuasa di barat laut negara itu dan pegawai Turki serta Rusia juga bersetuju untuk memulakan rondaan bersama di Idlib.

Kesengsaraan

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tentera Syria dan kapal perang Rusia telah membedil wilayah Idlib sejak Disember 2019 hingga mengorbankan hampir 500 orang awam serta jutaan yang lain terpaksa melarikan diri.

"Kesengsaraan rakyat Syria dalam dekad yang penuh tragis dan dahsyat ini masih berterusan," kata utusan khas PBB ke Syria, Geir Pedersen.

Konflik Syria lahir daripada demonstrasi antikerajaan di bandar Daraa dekat selatan Syria sembilan tahun lalu.

Protes kemudiannya merebak ke seluruh negara dan tindakan keras menyaksikan pemberontak mula merampas kawasan utama daripada kawalan pemerintah dengan sokongan negara Teluk.

Kumpulan jihad turut muncul terutamanya Daesh yang menguasai sebahagian besar Syria dan negara jiran Iraq pada 2014.

"Satu dekad pertempuran tidak membawa apa-apa keuntungan sebaliknya hanya menyebabkan kehancuran dan kesengsaraan.

"Tiada penyelesaian ketenteraan. Sekarang ini masanya untuk memberi peluang diplomasi untuk bekerja," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di Twitter.

Kemusnahan RM1.8 trilion

Sejak beberapa tahun lalu, Israel kerap melakukan serangan udara ke atas Syria, Hezbollah dan kedudukan tentera Iran.

Negara jiran Turki pula yang menyokong kumpulan bersenjata tempatan bertindak menempatkan pasukannya di sepanjang sempadan.

Pedersen menyifatkan konflik yang bertahan lama itu secara tidak langsung adalah bukti kegagalan kolektif diplomasi.

Perang saudara yang berlangsung selama 10 tahun di negara bergolak telah menjejaskan ekonomi dan infrastruktur di Syria.

Pada 2018, PBB menganggarkan konflik telah menyebabkan kemusnahan hampir AS$400 bilion (RM1.8 trilion).

"Perkhidmatan asas, hospital dan sekolah perlu dibangunkan semula di seluruh negara. Rumah dan tanah perlu dibersihkan daripada peluru yang tidak meletup. Peluang pekerjaan dan sumber pendapatan lain mesti diwujudkan dan dikekalkan," kata Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus