Lelaki ditahan seludup 20 bungkusan dadah bernilai RM1.2 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 yang bertugas di Pos Platun Taktikal Wallace Bay, Tawau, Sabah menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup dadah jenis syabu seberat 21.2 kilogram bernilai hampir RM1.2 juta yang dibawanya dengan sebuah bot dari Nunukan, Indonesia menuju ke Malaysia, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 42 tahun itu didapati membawa 20 bungkusan yang disyaki mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu yang ditemukan di dalam empat tayar beserta rim.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot, polis menjumpai empat tayar beserta rim dengan setiap tayar mengandungi lima bungkusan berwarna hijau tertera perkataan ‘Guanyinwang’,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Siasatan lanjut mendapati setiap bungkusan berwarna hijau itu mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

Acryl Sani berkata suspek kini direman selama seminggu bermula hari ini manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: