Bank wajar ringankan beban mangsa Covid-19

Covid-19 -Foto 123rf
Covid-19 -Foto 123rf
A
A
A

JUMLAH kematian di Itali akibat Covid-19 setakat semalam mencecah 1,441 orang dengan 21,157 kes positif menjadikan negara itu mencatatkan kes tertinggi Covid-19 di luar negara China.

Bilangan kes Covid-19 disahkan di seluruh United Kingdom (UK) pula meningkat kepada 1,140 kes semalam. Seramai 21 pesakit maut akibat virus berkenaan di UK.

Disebabkan pandemik itu yang menjejaskan aktiviti ekonomi, bank di UK dan Itali memberi kelonggaran kepada pelanggan mereka untuk menangguhkan bayaran pinjaman.

Royal Bank of Scotland (RBS), sebuah bank utama di UK, dalam satu kenyataan berkata, pelanggan mereka yang mengalami masalah kewangan akibat Covid-19 boleh meminta penangguhan bayaran maksimum tiga bulan.

Pihak bank juga membenarkan permohonan tambahan had maksimum sementara kredit kad bagi membantu mangsa Covid-19.

Di Itali, Timbalan Menteri Ekonomi Itali, Laura Castelli berkata, bayaran pinjaman digantung buat sementara waktu susulan Covid-19.

Bagaimana pula dengan Malaysia?

Di Malaysia sehingga kini 428 orang positif Covid-19 dan sejak pandemik itu melanda, industri pelancongan paling terjejas teruk apabila banyak tempahan hotel dan penerbangan yang dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Malindo Air, misalnya, memotong 50 peratus gaji pekerja dan Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa bulan depan.

Sekiranya keadaan itu berterusan, banyak syarikat lain yang akan terus kerugian dan terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji kepada pekerja.

Jadi, mana-mana bank yang belum merancang untuk meringankan beban pelanggan mereka bolehlah menawarkan penangguhan bayaran pinjaman kepada pelanggan yang terjejas akibat Covid-19.

Berilah kelonggaran kepada mereka yang positif Covid-19, yang dipotong gaji malah hilang pekerjaan dengan rundingan kelegaan kewangan supaya kehidupan mereka boleh dibantu dalam saat sukar sebegini.

Bank di Malaysia yang mempunyai aset beratus berbilion ringgit dan mencatat keuntungan bilion ringgit setiap tahun sewajarnya menggunakan saat musibah ini untuk kembali membantu pelanggan yang selama ini memberi keuntungan kepada mereka.