Jawatankuasa Muzakarah bincang hukum berkaitan penularan Covid-19

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diadakan di Pulse Grande Hotel Putrajaya malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia diadakan bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membincangkan beberapa pandangan hukum berikutan penularan wabak Covid-19.

"Ahli-ahli muzakarah juga telah meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili (ACE), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Aizam Mas’od.

"Keputusan pandangan hukum itu akan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda, Sultan dan Raja di seluruh negeri untuk mendapat perkenan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat khas Covid-19 esok

Kes baharu Covid-19 meningkat sehingga 190 orang

Mesyuarat khas dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu dihadiri mufti negeri atau wakilnya, pengarah Jabatan Agama Islam negeri dan wakil Majlis Agama Islam negeri.

Mesyuarat turut dihadiri Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman menyampaikan taklimat terakhir dan terkini berkenaan Covid-19.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengadakan perbincangan bersama pimpinan jemaah tabligh Malaysia yang berlangsung secara sidang video di lokasi sama.

Menurut Zulkifli, sidang video itu dikendalikan oleh Dr Noor Hisham.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengucapkan sekalung penghargaan atas kerjasama penuh dan komitmen jemaah tabligh Malaysia dalam menangani penularan wabak Covid-19.

"Umat Islam di Malaysia diingatkan supaya mematuhi semua makluman daripada KKM, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang disampaikan dari semasa ke semasa," tambahnya.