Dua festival antarabangsa ditunda susulan Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua festival antarabangsa yang akan diadakan di dua negeri, ditunda berikutan penularan jangkitan Covid-19.

Di JOHOR, Festival Islam dan Halal Antarabangsa 2020 (FIJO 2020) yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini ditunda ke Oktober berikutan kebimbangan Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Izhar Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri bertindak menangguhkan ekspo itu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang dilihat berada di fasa yang membimbangkan.

“Saya yakin dengan penangguhan selama lima bulan ini serta usaha dan komitmen yang diberikan daripada kerajaan dan juga rakyat bagi melihat suatu pencapaian baik untuk mengurangkan kadar kes Covid-19 akan berhasil.

“Semua agensi kerajaan berkaitan telah mengambil langkah selaras dengan perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Johor Bahru.

FIJO 2020 yang dijadual berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada itu merupakan ekspo yang berlandaskan konsep perniagaan dan dakwah, dan tarikh baharu dijadual pada 22 hingga 25 Oktober depan.

Sementara itu, di SARAWAK, Fiesta Belon Borneo 2020 yang dijadualkan pada 11 dan 12 April di Dataran Celebrati, Stadium Negeri, Petra Jaya ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Penganjur acara, Nex Vision Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, perkembangan terkini Covid-19 yang semakin meningkat menjadikan mustahil untuk meneruskan penganjuran acara pada tarikh yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kami memang teruja untuk menganjurkan satu fiesta yang hebat untuk kali pertamanya di Kuching, namun kesejahteraan masyarakat menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, penganjur tetap bersemangat untuk terus menganjurkan acara itu sebaik sahaja mendapat maklumat terkini dan lampu hijau daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Terkini, kerajaan Sarawak menggesa agar penganjuran perhimpunan awam membabitkan penyertaan lebih daripada 50 orang ditangguhkan ke satu tarikh kemudian.

Di PULAU PINANG, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian (PETACH) negeri, Yeoh Soon Hin menggesa agar semua aktiviti rekreasi, santai atau hiburan dan acara serta perhimpunan massa dibatalkan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Soon Hin dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu diambil berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha membendung penyebaran Covid-19.

“Kami percaya langkah pencegahan adalah penyelesaian terbaik, penjarakan sosial adalah perlu untuk mencegah penularan Covid-19. Keselamatan kesihatan awam perlu menjadi keutamaan, justeru saya menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan ini dan membatalkan acara serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membendung jangkitan, PETACH telah membatalkan semua acara mega di negeri itu termasuk Regata Perahu Naga Pulau Pinang, Festival George Town dan Perayaan Warisan Georgetown. - Bernama