Covid-19: Penggiat industri pelancongan disaran promosi dalam talian

Datuk Dr Noor Zari Hamat (dua, kanan), mendengar penerangan daripada Tok Halak pada Program Semarak Muzium@Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) 2020 di Muzium Negara, hari ini. -Foto Bernama
Datuk Dr Noor Zari Hamat (dua, kanan), mendengar penerangan daripada Tok Halak pada Program Semarak Muzium@Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) 2020 di Muzium Negara, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain industri pelancongan di negara ini diminta mengubah kaedah promosi sektor itu kepada pendekatan secara dalam talian bagi mengurangkan kontak fizikal ketika penularan virus Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, arahan itu dikeluarkan selepas perbincangan dengan semua pemegang taruh industri baru-baru ini.

“Ini tindakan paling wajar untuk situasi Covid-19 ketika ini, " katanya ketika ditemui pada hari terakhir Program Semarak Muzium @ Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) 2020, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan dalam dua bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM3.37 bilion akibat penularan Covid-19 dan syarikat penerbangan dan sektor perhotelan antara yang paling teruk terjejas.

Sementara itu, Noor Zari turut berkata, Motac menyediakan rebat penggunaan elektrik sebanyak 15 peratus kepada pihak perhotelan bagi membantu memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat Covid-19.

"Kita ambil maklum bahawa antara kos pengoperasian yang paling besar ditanggung (pihak perhotelan) ialah penggunaan elektrik, ini antara (bantuan) yang kita nyatakan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020," kata Noor Zari.

Dalam pada itu, Ketua Muzium Seni Kraf Orang Asli, Asmawi Mohamad Yunos berkata, program dua hari itu melihat secara dekat hasil seni kraf tangan dan kebudayaan suku Kaum Seletar, Semai Perak, Semai Pahang dan Mah Meri.

Katanya, program itu menampilkan keunikan tarian suku kaum Seletar dari Johor Bahru melalui tarian 'Daeng Nengkai', suku kaum Semai Perak dengan hasil seni anyaman perhiasan diri dinamakan anyaman Simpai (gelang tangan menggunakan rotan), suku kaum Semai Pahang (permainan tradisional Kerchang) serta suku kaum Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor dengan hasil seni ukiran patung dan topeng antaranya topeng Moyang Bojos dan patung harimau berantai,.

Artikel Berkaitan:

Program itu dianjurkan oleh Muzium Seni Kraf Tangan Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia tetapi ancaman Covid-19 menyebabkan hanya kumpulan kecil pengunjung datang menyaksikan pameran itu. - Bernama