X

Kindly register in order to view this article
!

Program jabatan libat pemimpin pembangkang dianggap sabotaj

Bung Mokhtar Radin
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah mengingatkan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di negeri itu tidak melakukan perkara yang dianggap mensabotaj kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, penyertaan wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membabitkan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan perlu dihentikan serta-merta.

"Saya memandang serius perkara ini dan dan tidak sepatutnya berlaku kerana Perikatan Nasional kini adalah kerajaan Persekutuan.

"Ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan perlu sedar dan faham bahawa sama ada menteri atau wakil rakyat mewakili kerajaan Warisan, UPKO dan PH di Sabah merupakan negeri pembangkang pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Ketua Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan terhadap Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kerana menganjurkan program jabatan itu yang membabitkan penyertaan wakil rakyat daripada kerajaan Warisan Sabah.

Sinar Harian difahamkan program itu merupakan satu majlis pelancaran Kempen Bilik Rehat Sihat JPNS yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang di Sekolah Menengah (SM) St Paul, Beaufort pada Jumaat lalu.

Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pihaknya menyokong kenyataan Ghazalie dan menegaskan JPNS harus menghentikan sebarang aktiviti dirancang lebih awal melibatkan wakil rakyat Warisan PH di sekolah-sekolah kerajaan serta-merta.

"Peringatan ini bukan sahaja ditujukan kepada Pengarah Pendidikan Negeri, bahkan pegawai di daerah termasuk Pejabat Pendidikan Bahagian (PPB) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sabah.

"Sebarang usaha pelanggaran arahan itu merupakan tindakan sabotaj kepada kerajaan Persekutuan,"katanya.

Pada 5 Mac lalu, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan kerajaan negeri Sabah yang terbentuk daripada Warisan, UPKO, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih mentadbir negeri di sebalik perubahan tampuk kepimpinan kerajaan Persekutuan yang menyaksikan PH tumbang.

Sinar Harian turut melaporkan Warisan sehingga kini kekal menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blok pembangkang dan tidak kepada Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan Persekutuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus