Gesa ahli tabligh ikut arahan pihak berkuasa

Notis penutupan sementara di Masjid Sri Petaling untuk kerja-kerja disinfeksi Jumaat lalu. -Foto Bernama
Notis penutupan sementara di Masjid Sri Petaling untuk kerja-kerja disinfeksi Jumaat lalu. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Markas Dakwah Tabligh Malaysia Sri Petaling meminta semua ahli tabligh mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan untuk diri, keluarga dan masyarakat.

Ahli Majlis Mesyuaratnya, Abdullah Cheong berkata, mereka juga perlu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing.

Menurutnya, kawasan yang telah diarahkan dikuarantin dan individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang disahkan positif perlu mendapat bimbingan dan rawatan perubatan dengan segera," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

"Peserta juga boleh menghubungi hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) kerana inilah peluang kita untuk mengamalkan sifat taawun atau bantu-membantu dalam membina ijtima iyat umat ini," katanya.

Terdahulu, seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur sudah berjaya dikenal pasti sehingga 7 malam semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.

Menurutnya, 1,634 individu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan sudah diambil sampel manakala 2,932 peserta akan dipantau di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir perhimpunan tabligh.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdullah Cheong turut memberitahu semua program di tempat yang diarahkan untuk dikuarantin ditangguhkan sehingga waktu kuarantin tamat dan keadaan pulih.

"Mereka yang ada gejala wabak tersebut seperti demam, batuk dan lain-lain simptom berkaitan perlu mengelakkan diri dari menyertai sebarang perhimpunan," katanya.