Kementerian pantau, nasihat majikan dalam setiap tindakan diambil

x-default
x-default
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa memantau dan menasihatkan mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil melibatkan kebajikan pekerja susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat.

Menurut Saravanan, Rabu lalu satu mesyuarat bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah diadakan bagi membincangkan langkah dan tindakan yang diambil berikutan 13,200 kakitangan syarikat itu yang terjejas berikutan wabak berkenaan.

“Para pekerja digalakkan untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela untuk tempoh tiga bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak lima hari sebulan bagi tempoh tiga bulan. Permohonan cuti sukarela tersebut perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan (HOD) di MAB.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airlines tawar cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangan

Situasi getir industri penerbangan negara

“Buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja. Tindakan pembuangan pekerja adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, meskipun ketika ini syarikat penerbangan nasional itu belum mengambil tindakan membuang pekerja, namun beberapa langkah lain telah diambil antaranya proses lantikan baru dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

“KSM juga telah menasihatkan pihak majikan agar mengambil beberapa tindakan seperti mematuhi peruntukan undang-undang Perburuhan, Perjanjian Kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan (COC) dan meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 13,000 kakitangan MAB diminta mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan Covid-19 yang melanda negara sekali gus menjejaskan operasi syarikat penerbangan tersebut.

Menurut laporan theedgemarkets.com, tawaran tersebut dibuka kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu di mana mereka perlu mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tanpa gaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan bermula April depan.

Tawaran program cuti tanpa gaji sukarela itu juga diperluaskan kepada semua kakitangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering, Firefly dan MASwings.