Rakyat Malaysia di negara terjejas Covid-19 diminta kekal tenang, sabar

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua rakyat Malaysia di negara luar yang terjejas pandemik wabak koronavirus (Covid-19) seperti Itali dan Iran diseru agar terus kekal tenang dan bersabar sementara menantikan usaha kerajaan melaksanakan proses membawa mereka pulang dalam masa terdekat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, 323 rakyat Malaysia di Itali dan 65 rakyat Malaysia di Iran akan dibawa pulang ke tanah air.

Menurutnya, susulan keputusan itu, Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia di Itali dan Iran sedang melaksanakan persiapan rapi bagi membantu melancarkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini.

"Persiapan ini termasuklah mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di sana serta memastikan mereka mendaftarkan diri dengan perwakilan.

"Perkara ini amat penting bagi memudahkan mereka mendapat maklumat tepat serta terkini berhubung misi membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara.

"Insya-ALLAH, kerajaan termasuk Wisma Putra akan memberi bantuan terbaik. Yang penting pastikan mereka berhubung dari masa ke masa dengan perwakilan kita di sana dan kita doakan semua berjalan lancar,"katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook peribadi hari ini.

Keratan gambar dari laman sosial Facebook Hishammudin yang memaparkan kakitangan Wisma Putra sedang bertungkus-lumus menyiapkan dokumen diperlukan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara.
Keratan gambar dari laman sosial Facebook Hishammudin yang memaparkan kakitangan Wisma Putra sedang bertungkus-lumus menyiapkan dokumen diperlukan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara.

Hishammudin berkata, keputusan membawa pulang rakyat Malaysia di negara terjejas Covid-19 antara lain mengambil kira maklumat Wisma Putra berhubung situasi semasa di Itali dan Iran yang beliau kongsikan kepada Perdana Menteri sewaktu mesyuarat khas wabak itu kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Muhyiddin melalui satu perutusan khas mengumumkan kerajaan sedang dalam proses untuk membawa pulang seramai 388 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih berada di Iran dan Itali susulan penularan Covid-19 yang semakin kritikal di dua negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara yang terjejas teruk dengan Covid-19 termasuklah 65 yang kini masih berada di Iran dan 323 di Itali.

"Hingga kini kerajaan sudah membawa pulang seramai 107 rakyat Malaysia dari sebahagian negara yang terjejas teruk dengan Covid-19 iaitu China, Iran, Itali dan Korea Selatan, " katanya.