Maszlee garis tiga hala tuju martabat pendidikan

Maszlee ketika menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019, di Serdang, hari ini.
Maszlee ketika menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019, di Serdang, hari ini.
A
A
A
SERDANG - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menggariskan tiga hala tuju bagi memartabatkan sistem pendidikan sesuai dengan visi menjadikan 'pendidikan untuk semua'.

Berucap menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 di sini, hari ini, Maszlee berkata, beliau menggariskan tiga hala tuju bagi mencapai hasrat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.

"Inilah dua visi penting yang perlu kita galasnya bersama," kata beliau pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 hadirin mewakili segenap lapisan masyarakat.

Tiga hala tuju yang digariskan beliau adalah pendidikan berteraskan nilai, peningkatan kualiti seluruh sistem serta dan autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.

Di bawah hala tuju pertama iaitu mengembalikan cinta ke dalam pendidikan, Maszlee berkata, 'cinta ialah teras kepada pendidikan'.

"Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka.

"Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya," katanya.

Jelas beliau, penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan.

"Di antara banyak nilai, kita mahu memberikan tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita binakan bersama, iaitu cinta atau kasih sayang, kegembiraan atau kebahagiaan dan saling menghormati," kata beliau.
Artikel Berkaitan:


Menurut Maszlee, sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan dan proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu.

"Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan," katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, jika rakyat ingin membentuk masyarakat yang penyayang, harmoni dan bersatu menuju matlamat yang sama untuk merealisasikan Wawasan 2020, semuanya mesti bermula dari sekolah dan universiti.

"Dan sistem pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan sekali gus mencintai negara," kata beliau.

Berkenaan dengan hala tuju kedua iaitu ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan, Maszlee memberitahu, Kementerian Pendidikan akan menjadikan ketinggian kualiti sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama.

"Ketinggian kualiti merangkumi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan," katanya.

Menurut Mazlee, konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara 'four walls of room'.

"Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat. Kita perlu mempunyai mindset bahawa dunia ini ialah kelas pembelajaran sepanjang hayat.

"Kita mesti berusaha untuk melahirkan pelajar cemerlang yang berfikiran tinggi, yang membaca, yang mempunyai sifat ingin tahu, dan yang relevan dengan keperluan industri, serta mempunyai kearifan tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat global," tambah Maszlee.

Mengenai autonomi dan akauntabiliti, yang merupakan hala tuju yang ketiga, Maszlee memberitahu, setiap individu dan institusi mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri.

"Atas dasar inilah kita sangat mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti," kata beliau.

Katanya, autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

"Kita perlu memperhebatkan pelibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan," katanya.

ends