Bomba siasat bahan berbahaya dibuang di Jalan Sirambai

Pasukan Hazmat melakukan kerja-kerja menyahkan bahan sisa berbahaya dalam kejadian di Jalan Sirambai di sini semalam.
Pasukan Hazmat melakukan kerja-kerja menyahkan bahan sisa berbahaya dalam kejadian di Jalan Sirambai di sini semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor memantau dan menyiasat pembuangan longgokan bahan berbahaya di Jalan Sirambai di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba Ismail Zakariya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 petang.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba kemudian dikerah ke lokasi kejadian bagi menyiasat laporan terbabit.

"Hasil pemeriksaan kita menjumpai bahan berbahaya dalam keadaan pepejal di samping terdapat label nama toksik tersebut," katanya.

Ismail berkata, pihaknya kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) bagi mengesan tahap bahaya sisa tersebut.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Rawang dan Shah Alam turut ke lokasi kejadian dan melakukan kerja-kerja menyahkan bahan sisa berbahaya dengan menggunakan dua aliran hos setinggi 200 kaki menggunakan air dari pili serta jentera bomba.

"Selain itu, pasukan kami juga memasang sawar sebagai langkah keselamatan kepada orang awam supaya tidak menghampiri bahan tersebut," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, hasil siasatan pihaknya mengesan bahan berbahaya mengandungi gas ammonia 50.2 Parts Per Million (PPM).

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, bahan tersebut kemudian dipindahkan ke dalam lori 10 tan dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

"Operasi ini tamat sepenuhnya pada jam 7 petang semalam," katanya.