X

Kindly register in order to view this article
!

'Kabinet Muhyiddin tidak membantu rakyat'

A
A

SHAH ALAM - Pembentukan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai Kabinet memberi semula ganjaran kepada pemimpin-pemimpin atau parti-parti yang bergabung membentuk Perikatan Nasional.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini juga tidak berlandaskan perjuangan menegakkan manifesto membantu rakyat dan visi perjuangan pakatan itu.

Menurutnya, beliau tidak pelik dengan pertikaian beberapa pemimpin UMNO yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan pengagihan jawatan Kabinet kerajaan baharu Perikatan Nasional memandangkan ia tertubuh semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyingkirkan DAP.

"Memandangkan kerajaan Perikatan Nasional diibaratkan kerajaan tidur sebantal, mimpi lain-lain, saya jangkakan lebih banyak pertikaian dan perselisihan faham akan tercetus antara mereka dalam masa terdekat.

"Bagi saya, inilah peluang untuk rakyat terutama orang Melayu sendiri menyaksikan bagaimana kerajaan dibentuk 'sesama orang Melayu' ini akhirnya lebih memikirkan kepentingan menerima habuan berbanding mengutamakan kepentingan rakyat," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap keputusan pengagihan jawatan Kabinet kepada parti itu tidak adil dan hanya membabitkan portfolio kurang penting.

Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah berkata, di sebalik jangkaan kerajaan Perikatan Nasional akan berterusan bercakaran dan berlaku ketidakstabilan sesama mereka, kemungkinan berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat sangat tipis.

"Apapun, kerajaan PH bersedia untuk mengembalikan mandat rakyat kerana kami terbukti bukan sahaja berjaya menstabilkan pentadbiran negara, bahkan mengamalkan pengagihan jawatan Kabinet secara sama rata tanpa mengira bilangan kerusi Parlimen dimiliki parti-parti dalam pakatan itu.

"Sebagai contoh, DAP yang memiliki jumlah kerusi ahli Parlimen terbanyak sebanyak 42 kerusi hanya menerima enam jawatan menteri penuh, sama dengan Bersatu yang mempunyai jumlah kerusi jauh lebih sedikit," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, masalah pertikaian jumlah agihan jawatan Kabinet berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional disebabkan kerajaan itu sendiri dibentuk daripada parti-parti yang tiada integriti dan menghormati mandat rakyat.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan Perikatan Nasional mengembalikan semula mandat rakyat yang dikhianati mereka secara terhormat bagi mengelakkan kerajaan ini menjadi mangsa cemuhan rakyat.

"Kalau kita lihat barisan Kabinet baharu dilantik Muhyiddin, masih ada ahli Kabinet yang ada latar belakang meragukan, kurang berkelayakan dan tidak bersih.

"Selain itu, Kabinet kerajaan Perikatan Nasional juga masih tiada hala tuju jelas dalam mencari penyelesaian berkaitan permasalahan utama negara ketika ini iaitu wabak pandemik koronavirus (Covid-19) dan kemelesetan ekonomi yang serius.

"Sehingga sekarang, saya selaku bekas Timbalan Menteri Kesihatan melihat masalah Covid-19 kini tidak terkawal seperti dahulu.

"Saya mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional meneliti semula pakej rangsangan ekonomi diumumkan sebelum ini bagi memastikan lebih banyak sektor industri mendapat manfaat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Komposisi Kabinet tak adil kepada UMNO, kata Tok Mat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!