‘Orang tahu saya Black dan berkulit gelap’

Black dan Nabil
Black dan Nabil
A
A
A

GOLONGAN selebriti tanah air turut tidak ketinggalan menjadi mangsa penghinaan fizikal diri, namun beberapa artis menukarkan kata-kata persendaan itu sebagai batu loncatan untuk mereka tampil lebih dikenali dalam industri.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 33, mula berdepan dengan hinaan terhadap kulitnya yang gelap sejak menceburi industri seni bermula tahun 2009.

Tidak melatah dengan hinaan itu, pelantun lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu menganggapnya sebagai rencah dalam industri hiburan tanah air.

“Sebagai selebriti, saya sudah biasa dengan keadaan sekeliling di mana saya berkawan dengan pelawak, pelakon. Jadi mulut-mulut mereka seperti yang kita tahu, memang jenis yang cakap lepas. Kita faham. Dalam masa yang sama, itu hanya gurauan semata-mata.

“Orang tahu saya Black dan berkulit gelap. Mereka akan cakap, dahlah hitam. Itu benda yang selalu saya hadapi sejak awal kemunculan saya dalam industri sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Katanya, kekurangan dirinya itulah menyebabkan dirinya dikenali sehingga ke hari ini.

“Saya kena berfikir secara terbuka dan positif. Kita jangan fikir kekurangan itu sebagai kelemahan kita.

“Jadikan kritikan atau hinaan itu sebagai satu bentuk cabaran. Disebabkan saya berkulit gelap, orang kenal Black sehingga hari ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina fizikal orang lain boleh dipenjara

Artikel Berkaitan:

Senada dengan Black, pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, 37, turut berpandangan bahawa kekurangan diri tidak perlu dijadikan sebagai penghalang untuk berjaya dalam kehidupan.

“Sebagai seorang pelawak, saya dari dahulu ‘bahan’ diri saya ketika membuat persembahan. Saya cakap telinga saya capang, bibir tebal. Saya dah ‘bahan’ diri saya cukup-cukup baru saya ‘bahan’ orang orang lain. Itu teknik stand up comedy,” katanya.

Beliau menambah, penghinaan terhadap fizikal seseorang pada hari ini berbeza berbanding dahulu kerana kesan media sosial yang hebat.

Katanya, penghinaan itu diperhebatkan di media sosial sehingga bertukar menjadi buli siber.

“Kalau macam pelawak, bila kita nak melawak sesama kita, ia merupakan perkara biasa. Pada saya benda ini jadi serius sebab komen di media sosial yang sudah menjadi buli siber.

“Sebenarnya bahan-membahan ini dari dulu lagi ada termasuk sewaktu kita kecil,” katanya.

Cuma, katanya, setiap orang yang menjadi mangsa perlu berfikiran terbuka dengan menukar persepsi negatif kepada positif untuk kebaikan diri sendiri.

“Bagi saya, bagaimana anda menerimanya. Benda ini subjektif. Sebab orang kalau nak melawak, dia akan melawak juga.

“Terpulang kepada keterbukaan anda. Mulut tempayan boleh ditutup. Kalau mulut orang? Kalau semua benda jadi sensitif kepada kita, kita yang akan bermasalah,” katanya.