Covid-19: Persiapan atlet Malaysia ke Sukan Olimpik terjejas

Reezal Merican - Foto Bernama
Reezal Merican - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Persiapan para atlet Malaysia terjejas akibat pembatalan dan penangguhan kejohanan sukan di dalam dan luar negara, berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini 12 atlet negara telah pun berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sudah tentu ia menjejaskan perancangan program sukan, khususnya yang melibatkan proses kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, di mana banyak pertandingan yang telah dibatalkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, masih terdapat seramai 23 atlet yang sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik.

Para atlet bukan sahaja Malaysia, malahan seluruh dunia terjejas persiapan mereka kerana kebanyakan mereka akan berada pada prestasi terbaik mereka semasa kejohanan-kejohanan yang ditunda itu.

"Jadi, sekarang mereka terpaksa buat perubahan semula program latihan mereka untuk mencapai prestasi terbaik pada kejohanan yang lain tetapi masalah baharu pula ialah ketidaktentuan bila pula kejohanan yang akan datang, akan berlangsung," katanya.

Beliau akan melawat Majlis Sukan Negara minggu depan untuk mendapatkan taklimat berhubung persiapan atlet ini.

"Saya akan dapat perkembangan terbaru mengenai persiapan atlet, sebelum saya membuat apa-apa tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata, tiga pemain hoki negara yang menghadiri yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini telah menjalani saringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi.

Keputusan saringan mereka negatif, namun dinasihatkan untuk kuarantin di rumah selama tujuh hari.

"Mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dibenarkan balik ke rumah namun sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu di kuarantin seminggu di rumah, sebelum kesihatan mereka diperiksa semula," katanya. - Bernama