Covid-19: 41 kes baharu, jumlah kes meningkat kepada 238

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 41 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 238.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu itu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh membabitkan 37 kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan empat kes lagi daripada kontak rapat.

“Sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

“Setakat hari ini, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di IMR, semua makmal kesihatan awam dan hospital. Daripada jumlah itu, tiga sampel disahkan positif jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dua kes positif Covid-19 sebelum ini (kes ke-35 dan 61), telah pulih dan dibenarkan keluar wad Hospital Sungai Buloh.

Angka terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya setakat hari ini ialah 35 kes.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menasihatkan orang awam untuk kekal tenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, berkaitan perhimpunan tabligh dari 28 Februari hingga 1 Mac lepas, demi menjaga keharmonian umum.

Beliau juga menegaskan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan, mengikut kesesuaian hingga 30 April selaras dengan arahan kerajaan, namun keputusan itu akan diteliti semula apabila situasi bertambah baik.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada penduduk komuniti lemah (vulnerable community) dan rentan jangkitan, terutama di kawasan pedalaman seperti komuniti Orang Asli, KKM turut menasihatkan agar sebarang organisasi atau kumpulan, yang ingin menjalankan aktiviti bersama komuniti ini untuk menangguhkannya,” katanya.

Bagaimanapun, KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada penduduk kawasan pedalaman melalui aktiviti ‘bantuan’ bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan KKM serta kesihatan komuniti dipelihara.

“KKM juga amat mengalu-alukan sebarang bantuan perubatan, sumbangan berkaitan perubatan atau kolaborasi perubatan yang ingin ditawarkan oleh mana-mana pihak, termasuk organisasi bukan kerajaan dan usul tersebut hendaklah dikemukakan kepada KKM melalui emel cprc@moh.gov.my,” katanya. - Bernama