1,000 doktor pelatih ditempatkan di hospital seluruh negara

1,000 doktor pelatih akan ditempatkan di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melancarkan operasi harian susulan wabak koronavirus (Covid-19)
1,000 doktor pelatih akan ditempatkan di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melancarkan operasi harian susulan wabak koronavirus (Covid-19)
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kesemua doktor pelatih akan menjalani induksi selama lima hari mulai Isnin, termasuk berkaitan pengendalian elemen Covid-19.

Beliau berkata, langkah penempatan segera 1,000 doktor pelatih itu adalah bagi meredakan bebanan doktor sedia ada yang menumpukan perhatian pada kes Covid-19.

"Mereka kena melalui kursus induksi dan kita akan mahirkan mereka dengan elemen Covid-19 sebelum masuk ke sistem KKM," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung situasi Covid-19 di Hospital Permai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu.

Mengenai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu beliau berkata, sejumlah 508 jemaah terlibat di Johor sudah tampil secara sukarela melakukan pemeriksaan kesihatan bagi Covid-19.

"Terdapat 94 pesakit dirawat di Hospital Permai dengan 21 daripadanya didapati positif Covid-19. Terdapat 73 yang lain merupakan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan Covid-19 dengan 13 daripadanya adalah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak itu," katanya sambil menyeru mereka yang menghadiri perhimpunan itu agar melakukan pemeriksaan.

Ahli Parlimen Tenggara itu juga menggesa orang ramai supaya menghormati keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguh atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini.

Artikel Berkaitan:

"Berkenaan had perhimpunan massa, kita telah pun mendengar amanat Perdana Menteri supaya tiada perhimpunan dengan keadaan sekarang, saya menggesa rakyat tidak laksanakan perhimpunan awam melebihi 50 orang pada sesuatu masa," katanya sambil menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri, terutama mencuci tangan.

Beliau berkata, KKM turut menyarankan hospital swasta supaya mengehadkan waktu lawatan seperti yang dilakukan hospital kerajaan sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Kita sudah minta kerjasama hospital swasta supaya lebih tegas dalam hal ini, dan terkini kita buat persefahaman dengan hospital swasta dalam menangani Covid-19," katanya. - Bernama