Covid-19: Bekalan cukup, tiada kes pembelian panik di Sabah

KPDNHEP Sabah mengesahkan tiada pembelian panik barangan isi rumah susulan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri itu. FOTO: Pembaca
KPDNHEP Sabah mengesahkan tiada pembelian panik barangan isi rumah susulan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri itu. FOTO: Pembaca
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengesahkan tiada pembelian panik barangan isi rumah susulan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan sejak semalam, pihaknya mendapati bekalan barang keperluan asas termasuk makanan masih mencukupi dan tidak ada pembelian luar biasa oleh pengguna.

Sejak berita pembelian panik sebar susulan kes pertama Covid-19 dikesan di Tawau, katanya, pihaknya mengambil inisiatif serta tindakan proaktif dengan melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan secara berterusan bermula semalam.

Katanya, seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan pengguna berbelanja bagi memastikan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung dijual pada harga ditetapkan kerajaan.

“Pegawai di setiap cawangan yang membuat pemantauan semalam dan hari ini turut melaporkan tidak berlaku pembelian panik di 31 premis pasar basah, 13 pasar besar, 48 pasar raya serta 58 kedai runcit dan pasar mini.

“Sehingga kini, bekalan mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit. KPDNHEP Sabah akan memastikan bekalan barang keperluan tidak terputus serta dijual pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua peniaga di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan berikutan penularan jangkitan Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, peniaga yang didapati menaikkan harga barang secara tidak berpatutan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Artikel Berkaitan:

Sabah merekodkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 setakat semalam membabitkan 14 warga tempatan dan seorang warga Indonesia. - Bernama