Waktu melawat hospital kerajaan di Terengganu dipendekkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua hospital kerajaan di Terengganu memendekkan waktu lawatan berkuat kuasa hari ini susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Malaysia.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia adalah antara langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pesakit, pelawat dan warga hospital.

"Tempoh waktu melawat semua hospital kerajaan di Terengganu dipendekkan kepada 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 7 malam setiap hari termasuklah pada hari bekerja, cuti umum dan cuti am.

"Para pelawat yang mengalami gejala seperti demam atau batuk atau selesema juga tidak digalakkan melawat pesakit yang berada di hospital," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, katanya bilangan pelawat yang hadir ke semua hospital di Terengganu juga akan dikurangkan dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan untuk melawat hospital.

"Peraturan ini berkuat kuasa serta-merta dan jika ada sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak," katanya.

Terengganu mempunyai enam hospital kerajaan iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Hospital Dungun, Hospital Kemaman, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Besut dan Hospital Setiu. - Bernama

Artikel Berkaitan: