Khalid Samad tidak dipukul: Polis

Khalid membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi.
Khalid membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad membuat laporan polis selepas diprovokasi beberapa individu ketika menghadiri pertemuan bersama ahli Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.45 malam di hadapan Pejabat Parti Amanah Negara, Jalan Persinggahan, Ladang Tok Pelam di sini selepas Ahli Parlimen Shah Alam itu menghadiri pertemuan secara tertutup di situ.

Menurut sumber, ketika kejadian terdapat beberapa lelaki tidak dikenali berada di hadapan pejabat berkenaan sebelum mereka bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Khalid, namun kehadiran mereka tidak dihiraukan Khalid yang segera masuk ke keretanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak dipukul sebagaimana maklumat ditularkan di media sosial hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun telah membuat laporan polis kerana terancam dengan tindakan kumpulan berkenaan.

"Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang andaian atau menimbulkan sebarang spekulasi mengenai kejadian ini kerana ia masih dalam siasatan," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook yang mendakwa Khalid dipukul dan diserang di Kuala Terengganu malam tadi.

Berdasarkan maklumat tular, tindakan itu dilakukan kerana dipercayai pemimpin politik itu mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.