3,000 orang awam solat Jumaat bersama jemaah Ijtimak Tabligh

Ijtimak Tabligh yang berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu. - Foto Bernama
Ijtimak Tabligh yang berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Bukan jemaah tabligh sahaja hadir sempena Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling bermula 28 Februari hingga 2 Mac lalu, namun terdapat kira-kira 3,000 jemaah lain yang juga orang awam turut hadir.

Seorang jemaah awam dari Alor Setar yang hanya mahu dikenali sebagai Joe berkata, dalam tempoh empat hari tersebut, orang awam dari sekitar masjid turut datang berjemaah terutamanya pada solat Jumaat pada 28 Februari.

Menurutnya, dia yang hadir atas urusan kerja di Petaling Jaya rasa terpanggil untuk melakukan ujian kesihatan saringan koronavirus (Covid-19) di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar hari ini.

"Semalam saya melakukan ujian saringan bersama keluarga dan syukur ujiannya adalah negatif. Hari ini sekali lagi saya datang buat ujian saringan di Alor Setar atas saranan majikan dan saya akur dan melakukannya buat kali kedua.

"Semasa solat Jumaat di masjid tersebut ada kira-kira 3,000 jemaah awam lain. Saya lihat ada yang datang bukan jemaah tabligh dan mereka juga berisiko serta terdedah kepada Covid-19.

"Saya juga lihat ada pelajar sekolah kerana memakai baju yang sama pada hari tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Joe hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar hari ini atas kesedaran sendiri selepas solat Jumaat di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari lalu.
Joe hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar hari ini atas kesedaran sendiri selepas solat Jumaat di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari lalu.

Joe berkata, arahan yang sama perlu juga dikeluarkan oleh kerajaan ataupun Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap orang awam yang hadir sepanjang empat hari ke masjid tersebut dan bukan sahaja terhad kepada 15,000 jemaah tabligh.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja jemaah tabligh yang perlu dijejaki tetapi orang awam lain seperti 3,000 lagi juga perlu hadir membuat saringan Covid-19. Perkara seperti ini kita tidak tahu siapa yang bawa penyakit tersebut.

"Saya bukan jemaah tabligh, tapi saya tampil membuat saringan kerana bersolat Jumaat di masjid tersebut selepas membaca laporan di media," katanya.

Semalam, media melaporkan Petugas KKM bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Sri Petaling di sini sejak dua hari lepas setelah seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Februari lalu disahkan positif virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan kementerian telah mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak iaitu peserta, petugas dan pelajar.