Pahang tangguh program skala besar

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menangguhkan beberapa program berskala besar yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara program yang ditangguhkan adalah Forum Pelaburan dan Festival Pahang (FPFP) yang akan diadakan pada 8 April sehingga 12 April depan.

Menurutnya, turut ditangguhkan majlis konvokesyen Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) yang sepatutnya berlangsung pada hari ini.

"Penangguhan FPFP dibuat ekoran majlis itu diadakan di Kuala Lumpur dan ia berisiko tinggi kerana melibatkan ramai peserta termasuk peserta daripada luar negara," katanya melalui kenyataan beliau yang dilaporkan portal pahangmedia.my hari ini.

Wan Rosdy dilapor turut berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat berkaitan isu itu dalam masa terdekat yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak selaku Pengerusi Bencana Negeri Pahang.

Memetik kenyataan beliau melalui portal itu, Wan Rosdy turut meminta peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Kita juga menggalakkan barisan Exco untuk buat pemeriksaan berkaitan virus ini.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya kita tidak mendengar khabar-khabar angin tentang penularan Covid-19, sebaliknya perlu merujuk atau mendapatkan maklumat sahih yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan: