Nelayan diserang sawan, lemas jatuh bot

Operasi SAR semalam turut disertai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA). - Foto ihsan bomba
Operasi SAR semalam turut disertai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA). - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUANTAN - Nelayan warga Thailand yang dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke Sungai Kuantan dekat Kampung Peramu di sini awal pagi semalam ditemui lemas pagi ini.

Mayat Asri Binhama, 33, berasal dari daerah Naratiwat ditemui pekerja sebuah kilang sotong jam 7.40 pagi tadi iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau luka.

"Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua yang disambung jam 7.30 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian 500 meter dari lokasi mangsa terjatuh ditamatkan," katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh dari bot akibat diserang sawan sebelum dihanyutkan arus dalam kejadian awal pagi semalam.

Menurutnya, mangsa mempunyai sejarah penyakit itu yang dialami sejak 10 tahun lalu berdasarkan cerita rakan-rakannya.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, mangsa bersama rakan sedang mengemas bot yang sedang berlabuh di sebuah jeti berhampiran kilang sotong di Kampung Peramu di sini.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh dari bot dan dihanyutkan arus.

"Kejadian itu disedari rakannya dan mereka terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal ekoran arus yang terlalu deras," katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai pihak bomba dilancarkan serta-merta dan ditangguhkan jam 3 pagi.

"Operasi SAR disambung pagi semalam hingga jam 6 petang melibatkan kekuatan seramai lima pegawai dan 26 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kawasan pencarian melibatkan keluasan 500 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa diteruskan pagi ini sebelum mayat mangsa ditemui.