Kepong BC isi slot pusingan akhir

A
A
A

KELAB Badminton (BC) Kepong mengesahkan tempat ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) selepas menumpaskan Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 9-8 dalam aksi peringkat kedua Kumpulan B di Gem In Mall, sebentar tadi.

Kepong BC ketika ini berada di tangga ketiga dengan 94 set kemenangan sudah menempatkan diri dalam kelompok enam pasukan teratas SSPL walaupun masih berbaki satu aksi pertemuan Petaling BC menentang Serdang BC.

Jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif berkata, “Di peringkat kedua SSPL, kita nampak lemah pada perlawanan pertama kerana ada pemain kita yang ke Thailand Masters. Namun hari ini, separuh daripada pemain dapat bersama kita semula cuma Soong Joo Ven yang kurang sihat dan tak dapat diturunkan tadi.

“Di pusingan akhir SSPL, saya harapkan tuah sebagai finalis musim lalu akan berterusan. Dari segi perpindahan pemain, saya sudah berikan pendapat kepada pengurusan Kepong BC untuk memperbaiki perseorangan wanita dan juga beregu campuran. Dalam perancangan setakat ini, mungkin ada pemain dari Indonesia atau Eropah akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan dalam pusingan akhir,” katanya.

Dalam pertemuan tadi, Kepong BC mendahului aksi apabila memenangi acara perseorangan lelaki menerusi pemainnya, Lim Chi Wing yang mengatasi Abdul Kadir Zailani 3-2 (9-11 11-10 11-4 5-11 7-5).

Dalam acara perseorangan wanita menyaksikan Kepong BC menjarakkan lagi jurang apabila turut menang menerusi Qin Jin Jing yang menang ke atas pemain BMASBC, Kong Yi Jin 3-0 (11-5 11-5 11-8).

Beregu lelaki pula menyaksikan Kepong BC terus mendominasi saingan menerusi Muhd Nuraidil Adha- Tee Kai Wun yang mengatasi Sim Fong Hau- V. Roobenraj 3-0 (11-9 11-7 11-10) menjadikan Kepong BC selesa 9-2 di depan.

Kepong BC bagaimanapun tumpas dalam acara beregu campuran selepas gandingan Anna Cheong- Yan Runze tewas kepada pasangan BMASBC, Tiara Rosalia- Agrippina Primarahmanto 0-3 (7-11 8-11 6-11).

Artikel Berkaitan:

BMASBC juga diberikan kemenangan percuma 0-3 dalam satu lagi acara perseorangan lelaki selepas pemain Kepong BC, Soong Joo Ven tidak dapat turun beraksi namun sudah terlambat untuk mereka bangkit.

Selepas keenam-enam pasukan akan menamatkan saingan peringkat kedua hari ini, kutipan set kemenangan (games won) yang berjaya dicapai akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama.

Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi di pusingan akhir SSPL.