'Bukan Ku Li tinggalkan UMNO, tapi Dr Mahathir'

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah
Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah keluar atau meninggalkan UMNO tetapi Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang buat begitu, kata Penasihat Kewangan dan Peribadinya, Datuk Nik Ahmad Azmi Nik Md Daud.

Nik Ahmad Azmi berkata demikian susulan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa Tengku Razaleigh atau Ku Li keluar UMNO dan menubuhkan parti Melayu iaitu Semangat 46.

Nik Ahmad Azmi berkata, UMNO asal ditubuhkan pada tahun 1946 tetapi kemudiannya ia dibatalkan pendaftaran oleh mahkamah pada tahun 1987 atas sebab kononnya terdapat ahli yang mengundi didakwa tidak berdaftar.

Beliau berkata, disebabkan itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika itu mengesyorkan satu parti ditubuhkan iaitu UMNO Malaysia dan memohon kepada Menteri Dalam Negeri serta dibentang dalam Parlimen agar dibenarkan UMNO asal ini dihidupkan semula tetapi ia ditolak.

"Pada masa yang sama, Dr Mahathir pula menubuhkan UMNO Baru (UMNO yang ada sekarang) dengan perlembagaan baharu, sekali gus tidak mencerminkan UMNO asal.

"Bagaimanapun, beliau tak benarkan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Ku Li dan ramai untuk masuk UMNO Baru itu. Beliau pilih orang-orang tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Nik Ahmad Azmi
Nik Ahmad Azmi

Terdahulu, Sinar Harian menerusi satu temubual eksklusif bersama Dr Mahathir melaporkan bekas Perdana Menteri itu memaklumkan Ku Li keluar parti dan menubuhkan parti Melayu, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula keluar UMNO menubuhkan parti liberal.

Artikel Berkaitan:

Nik Ahmad Azmi berkata, apabila tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru, mereka ini, atas nasihat Tunku Abdul Rahman menubuhkan parti Semangat 46 yang kemudiannya ditukar nama kepada Parti Melayu Semangat 46 bagi memastikan ahli-ahli UMNO yang menentang Dr Mahathir tidak lari dari perjuangan UMNO asal atau menyertai parti lain.

"Selepas Pilihan Raya Umum 1995, Dr Mahathir kemudian mempelawa Ku Li untuk masuk UMNO Baru yang ditubuhkannya dan ketika itu pelawaan itu diterima tanpa syarat, tanpa meminta sebarang kedudukan demi perpaduan serta untuk menunaikan amanat Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mahukan Melayu bersatu.

"Parti Melayu Semangat 46 kemudiannya dibubarkan. Jadi jelas, Ku Li tidak pernah keluar UMNO sejak UMNO asal dibatalkan pendaftaran, sebaliknya kekal memperjuangkan semangat UMNO walaupun tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru ketika Dr Mahathir menubuhkannya.

"Fakta lain juga, yang meninggalkan UMNO sebenarnya adalah Dr Mahathir. Anwar dan Muhyiddin dipecat oleh UMNO tetapi Dr Mahathir meninggalkan UMNO Baru yang ditubuhkan sendiri sebanyak dua kali selepas tidak bersetuju dengan dua lagi bekas Presiden UMNO iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak". katanya.

Menurutnya, beliau berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada semua pihak agar sejarah tidak diputar belit.